23.11.17

Rokok

Merokok membahayakan kesihatan. Ayat cliché yang sering kita dengar. Sejuta kali diperdengarkan pun macam tiada impak buat si perokok. Jujur saya katakan disini, saya merupakan bekas perokok tegar dan kini tidak lagi menjadi hamba kepada rokok. Bangga sungguh menjadi salah seorang yang tidak lagi menjadikan habit buruk ini sebagai ‘lifestyle’ kerana ia sesungguhnya tidaklah style mana pun, mendatangkan masalah lagi ada! Kenapa perlu seseorang itu untuk menghisap rokok? Satu pertanyaan yang sering kali bermain difikiran. Adakah dengan menghisap rokok dapat memberikan satu kepuasan dalam hidup? Suatu ketika dulu, satu hari kalau tak hisap rokok memang tak senang hidup. Rasa macam ada sesuatu yang tidak kena. Adakah dengan menghisap rokok dapat mententeramkan jiwa yang kusut dan bermasalah? Terpulang kepada persepsi masing-masing. Berbalik kepada persoalan kenapa perlu menghisap rokok, ternyata tidak memberikan faedah langsung kepada diri kita. Bayangkan duit yang boleh kita simpan, sekiranya kita membelanjakan satu kotak rokok sehari selama sebulan? Bagi mereka yang merasakan diri mampu untuk membelanjakan RM17.00 untuk sekotak rokok mungkin tidak terkesan atau dengan kata lain tak kisah dengan harga. Sekotak RM50.00 pun mampu beli. Tapi kalau difikirkan balik memang sangat membazir dan tak memberi apa-apa manfaat langsung. Jadi kenapa perlu buat? Penulisan saya kali ini khas untuk yang ‘pasang niat’ berhenti merokok. Sekiranya saya masih lagi merokok, mungkin entri ini tak akan wujud. Manusia belajar dari pengalaman bukan?
Bagi individu yang positif untuk berhenti merokok, semangat untuk berhenti perlu kuat, kalau semangat lembik, lemah longlai serta tiada langsung kesedaran, baik lupakan sahaja niat untuk berhenti. Banyak kali juga saya cuba untuk menjauhkan diri dari tabiat ini kerana permulaannya agak sukar kerana mudah ‘terpengaruh’ dengan keadaan sekeliling. It’s everywhere! Pergilah ceruk mana pun, memang akan kelihatan orang merokok. Itu yang susah sebab nafsu untuk merokok masih meluap-luap dalam diri. Tak boleh tahan tengok orang menghembus asap disekeliling. Keadaan sekitar juga penyumbang faktor seseorang itu susah berhenti sekiranya mempunyai niat untuk berhenti merokok. Kawan juga penyebab utama masalah ini. Ramai diantara kita berkawan dengan perokok tegar yang kelihatan macam susah nak jatuh sakit, mereka kelihatan sangat normal dan sihat bertenaga. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa amalan menghisap rokok tidak membahayakan kesihatan. Kesedaran untuk berhenti mati disitu. Saya juga merasakan bahawa tabiat merokok ini seolah-olah sesuatu yang normal kerana hampir semua orang macam tak ambil peduli, perkara ini dilihat biasa dan juga salah satu gaya hidup orang tempatan. Kempen-kempen kesedaran yang dijalankan pun hanya sekadar terpampang disana-sini, hampir tiada impak langsung.
Secara amnya, tak semua orang suka dengan tabiat ini. Bagi mereka yang ‘anti asap rokok’ perkara ini sangat menjijikkan. Perokok dilihat seorang yang pengotor dan selekeh. Sebelum saya decide untuk berhenti, tidak langsung merasakan diri saya seorang yang pengotor atau kelihatan selekeh. Pandangan orang terhadap perokok bergantung kepada tingkah-laku dan cara pemakaian si perokok. Tak semua yang merokok itu seorang yang selekeh atau pengotor tetapi ianya pandangan yang sangat munasabah. Tabiat merokok itu dilihat sangat menyakitkan mata bagi yang against merokok dan sangat menjijikan bagi sesetengah kaum wanita. Sekiranya ahli keluarga kita tiada yang merokok, peratusan untuk seseorang itu menjadi perokok sangat rendah kerana mereka tidak didedahkan dengan asap rokok dirumah. Bagi sebuah keluarga yang mempunyai salah seorang anggotanya merokok, chances untuk anak-anak menjadi smoker amat tinggi. Kalau tiada yang memulakan tabiat buruk ini, mungkin niat untuk menghisap rokok langsung tidak wujud. Saya berbangga dengan keluarga yang mempunyai seorang ayah yang tidak merokok dan tidak pernah langsung memegang puntung rokok. Mereka sangat hebat!
Melalui pemerhatian saya, ramai sangat yang suka merokok di restaurant/ kedai-kedai makan yang terbuka. Lumrah orang yang merokok, selepas selesai makan mesti wajib hisap rokok. Ada juga yang tak peka dengan keadaan sekeliling, selamba menghisap rokok berdekatan dengan keluarga yang duduk makan semeja dengan anak-anak kecil. Terpaksalah budak-budak kecik ni menghidu bau asap rokok si perokok tadi. Nak merokok lepas makan, merokok jauh-jauh. Asap rokok memang sangat merimaskan dan kehadirannya sangat tak selesa. Ada otak fikirkanlah. Bagi yang merokok, jangan berhenti mencuba untuk tidak merokok. Bila kita stop merokok, badan kita akan rasa totally fresh dan perasaan yang sangat berbeza dari yang sebelumnya, badan kita akan bebas dari toxic waste. Setuju sangat dengan cadangan pihak tertentu untuk menaikkan harga rokok sehingga RM50.00, daripada beli rokok berkotak-kotak, baik beli makan buat anak-bini! (bagi yang sudah berkahwin)
Diantara penyebab utama yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti ialah sakit dibahagian dada yang sangat tak selesa. Setiap kali menghisap rokok, tak sampai habis lagi saya dah buang rokok. Macam merokok nie main-main pulak. Buat apa kita menjadi hamba kepada rokok, langsung tiada manfaat selain menghabiskan duit dan mengotorkan paru-paru. Cakap sahaja tiada guna, kalau niat sudah menebal didada, langsung saja diteruskan. Baik jauhkan diri dari amalan kononnya normal ini. Tak susah sebenarnya untuk berhenti merokok, kerana saya berjaya untuk berhenti. Diantara salah satu caranya ialah dengan menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang memungkinkan anda untuk menghisap rokok. Kalau ada ‘port’ sila jauhkan diri daripada ‘port’ biasa anda. Jauhkan diri dari kedai makan yang senang untuk merokok. Kedai makan yang berhawa dingin memang tak dibenarkan untuk merokok. Sila pergi ke tempat-tempat yang susah untuk anda merokok. Tempat yang penuh dengan sign dilarang merokok. Jangan fikir perkara-perkara yang memungkinkan anda untuk menghisap rokok. Buat sesuatu perkara yang dapat larikan diri dari tabiat ini sebagai contohnya dengan mengunyah makanan. Gula-gula juga membantu. Jelly kenyal Haribo perasa Coke juga sangat membantu saya. Amalkan cara berfikir macam baik beli makanan dari beli rokok, baik simpan duit dari bakar duit. Perkara-perkara ini mungkin dapat membantu untuk kita berhenti. Dengan kata lain, jangan langsung cuba ingat pada rokok! Cuba control mind set kita. Tak cuba tak tahu. Apa yang penting sekali ialah kene kuat semangat. Tanamkan semangat dalam diri untuk berhenti dari membeli sekotak rokok. Selamat mencuba
Images via TF